|
Menara Jam Batu Gajah |
“Batu Gajah Bandar Bertuah”. Bandar bertuah ini adalah
tempat keputeraannya DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah Muhibbuddin
Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah iaitu seorang
Sultan yang berkaliber, yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara yang
ke-9. Baginda merupakan Tokoh Batu Gajah yang pertama ditonjolkan dalam
buku Tokoh-Tokoh Batu Gajah, Perak. Batu Gajah telah melahirkan ramai
lagi tokoh-tokoh terkemuka seperti Raja Asal, William Kellie Smith, Ho
Yuk Phooi, Charles Alma Baker, Kerani Ariff, Dato’ Mustapha Albakri,
Syed Shaidali dan K. Malaiperumal Pillay. Nama-nama terkenal dalam
bidang agama termasuk Tuan Syed Abdul Kadir (Kadi Pertama Batu Gajah),
Haji Salleh bin Lebai Awang (Ketua Imam Masjid), Haji Abdul Hamid (Guru
Agama), Mohamad Nawawi (wartawan dan sarjana bahasa Arab) dan Cikgu Ali
(Guru Quran dan Imam). Terdapat ramai lagi tokoh yang terkenal dalam
semua bidang ketokohan seperti perlombongan, getah, pentadbiran dan
pendidikan.
Perkampungan Melayu telah wujud di Batu Gajah sejak kurun ke-19
lagi. Ketika itu orang Melayu sudah giat menjalankan kegiatan
perlombongan bijih timah. Terdapat ramai orang Cina menjadi pekerja di
kawasan perlombongan kepunyaan orang Melayu. Bijih timahlah yang membawa
kemasukan orang Cina ke Batu Gajah. Pembukaan ladang getah telah
membawa masuk orang India ke sini. Jelaslah perkembangan sejarah Batu
Gajah sama seperti perkembangan Sejarah Malaysia keseluruhannya.
Seolah-olah Batu Gajah adalah
‘Malaysia in Maniature’.
Di Batu Gajah terdapat penduduk yang berbilang kaum iaitu Melayu
(dari suku kaum seperti Mendailing, Rawa, Talu, Acheh, Jawa dan
lain-lain), Cina, India, Ceylon, Punjabi, Parsi, Arab dan lain-lain.
Tidak hairanlah penduduk Batu Gajah dapat memahami dan menyesuaikan diri
dengan corak hidup pelbagai kaum sehingga dapat melahirkan suasana yang
aman damai.
Sejak 1880-an lagi, Batu Gajah merupakan tempat pertemuan
pembesar-pembesar Tanah Melayu pada masa itu. Di Batu Gajah pada masa
itu ada Gelanggang Perlumbaan Kuda (Race Course). Kuda-kuda didatangi
dari Pahang dan Johor untuk berlumba di sini. Ada terdapat sebuah Kelab
tempat perjumpaan dan riadah bagi pegawai kerajaan dan pembesar-pembesar
negeri. Dari segi ini, Batu Gajah sudah dikenali sejak 1880-an lagi.
Mengikut bukti yang ada, Batu Gajah sudah wujud sekitar tahun 1870-an.
Menurut diari J.W.W. Birch, Resident British Pertama di Perak, beliau
pernah melawat Batu Gajah pada 30 April 1875. Beliau menyebut Batu Gajah
sebagai sebuah kampung yang besar di tepi Sungai Kinta dan terdapat
sebuah relau yang besar untuk melebur bijih timah.
Ini menunjukkan perkembangan awal Batu Gajah adalah berkait rapat
dengan kegiatan perlombongan bijih timah yang mula berkembang di Jajahan
Kinta pada masa itu.
Beberapa versi telah dilaporkan mengenai asal usul nama Batu Gajah.
Mengikut versi yang pertama, apabila bijih timah mula dijumpai di Batu
Gajah, ramai pedagang asing dari Sumatera datang melalui Sungai Kinta
untuk berdagang timah. Mereka kebanyakannya penganut agama Buddha yang
menyembah berhala. Oleh sebab tempat tersebut belum bernama, mereka
telah mengukir dua batu besar di tebing Sungai Kinta menyerupai dua
bentuk ekor gajah.
Kemudiannya versi kedua, pelombong-pelombong bijih timah telah
menemui batu-batu sebesar gajah dan keras seperti kepala gajah.
Pelombong-pelombong kemudiannya menamakan kawasan tersebut ‘Batu Gajah’
(Batu Besar).
Mengikut satu lagi versi, iaitu versi yang mungkin lebih
credible,
nama Batu Gajah diambil daripada nama sebuah kampung Mandailing di
Medan, Indonesia. Kampung tersebut masih lagi wujud. Biar apa sekali
versinya, perlu dinyatakan di sini bahawa gajah bukanlah sesuatu yang
asing bagi orang Melayu. Binatang darat paling besar ini telah digunakan
secara meluas bagi pengangkutan darat di negeri-negeri Melayu
sehinggalah awal tahun 1910-an. Dalam Perarakan Diraja Perak, pasukan
gajah yang membawa rengga (tempat duduk belakang gajah) biasanya dihias
berwarna-warni diiringi oleh juak-juak (biduanda) yang berpakaian indah
membawa alat-alat kebesaran dan payung Diraja. Disamping itu, gajah juga
digunakan dalam kerja-kerja pembalakan dan mengangkut hasil serta
alatan perlombongan di Daerah Kinta.